Travelog Umrah (^_^) - panjang nie..agak2 dah smpai tahap layak buat buku x? hehe


13 Feb 2013 (KLIA – Islamabad)
            Seawal  jam  11.30  pagi, aku  dan  ahli  keluargaku  yang lain selamat  tiba  di  KLIA. Ketika ini, aku  semakin  merasa  debaran  dalam  hati  mengalahkan  pengantin  baru  pula. Aku  tidak  tahu  mengapa  aku  jadi  sedikit  gementar  dan  mungkin  terlalu  teruja  dalam  masa  yang  sama. Aku  hanya  mengendahkan  perasaanku  itu. Ah,perasaan! Kami  sekeluarga  menjamu  makan  tengahari  di  Food Court  yang  disediakan  di  aras  2  KLIA. Aku  seperti  tiada  selera  untuk  menjamah  makanan  tengahari. Aku  hanya  mampu  menjamu  air  mineral  sahaja. Selera  makanku  seperti  diragut  terus  dalam  diriku. Sejurus  waktu  Zohor  telah  masuk, kami  sekeluarga  terus  ke  surau  bagi  mengerjakan  ibadah  wajib  itu. Manakala, aku  dan  opah  melakukan  solat  jama’ taqdim  Zohor  dan  asar. Ini  kerana  kami  akan  melalui  perjalanan  yang  agak  lama  pada  petang  itu. Setelah  itu, kami  menunggu  ketua,  ahli-ahli  rombongan  dan  pakcik  serta  makcik2 aku  yang  bakal  berpergian  sekali  bersama  kami. Mereka  datang  dari  destinasi  yang berlainan. Pakcikku  hadir  sebagai  muhrim  buatku  sepanjang  berada  di  tanah  suci  nanti. Tepat  pada  pukul  2  petang, ramai  ahli  keluarga  yang  terdekat  datang  menemui  kami  sebelum  kami  bertolak. Kira-kira  dalam  pukul  3  petang, setelah  ketibaan  ketua  serta  ahli Jemaah  rombongan di  KLIA, barulah  kami  terus mendaftar  masuk (check in)  di  kaunter  Pakistan  Airlines. Ini  kerana  kami  akan  menaiki  pesawat  tersebut  pada  petang  itu. Lebih  kurang  pada  jam  4  petang, setelah  selesai  check  in  dan  pengagihan  passport  pada  ahli  Jemaah, kami  terus  boarding  untuk  menaiki  pesawat. Pada  ketika  ini, hati  aku  tidak  semena-mena  menjadi  sebak. Tapi  aku  masih  mampu  menahan  air  mata  daripada  jatuh  berguguran. Mana  tidaknya, aku  merasa  sangat  sedih  dan  berat  hati  untuk  meninggalkan  ummi, ayah  serta  adikku  di  tanah air. Lagipun  pada  ketika  itu,ayahku  kurang  sihat. Kaki  ayahku  mengalami  bengkak  urat.





Namun, mahu  tidak  mahu, aku  terpaksa  meninggalkan  orang-orang  kesayangan  aku. Aku  bersalam-salaman  bersama  ahli-ahli  keluargaku  dan  ayahku  sempat  berpesan  padaku  agar  menjaga  opahku  sepanjang  berada  di  sana. Aku  hanya  mampu   mengangguk. Aku  serta  Jemaah  lain  meneruskan  perjalanan  kami  untuk  sampai  ke  kaunter  37, yang  mana  kami  akan  memasuki  pesawat  melalui  pintu  37. Sebelum  ke  sana, kami  terpaksa  menaiki  aerotrain  kerana  jarak  untuk  ke  pintu  37  agak  jauh. Ianya  terletak  di  sebuah  bangunan yang lain, berasingan. Sesampainya  kami  di  sana, pihak  yang  bertanggungjawab  meneliti  tiket  dan  terus  melepaskan  kami  untuk  memasuki  pesawat. Namun, penerbangan  kami  agak  lewat  1 jam. Sepatutnya  penerbangan  kami  pada  pukul  5  petang, tapi  disebabkan  pesawat  mengalami  sedikit  masalah  pada  kipasnya (terletak  bawah  sayap  pesawat). Ia  menjadikan  penerbangan  kami  tepat  pada  pukul  6  petang. Pesawat  terus  bergerak  laju  sehingga  aku  tidak  menyedari  yang  ketika  itu  aku  sudah  pun  berada  di  atas  kepulan  awan  yang  memutih. Aku  merasa  terpukau. Namun, apa  yang  aku  tahu, pesawat  itu  akan   transit  di  Islamabad, Pakistan. Perjalanan  yang  dihadapi  dianggarkan  selama  4 jam  setengah.
 Akhirnya  pada  lebih  kurang  jam  10  malam (jam 1 pagi waktu Malaysia) kami  tiba  di  Islamabad, Pakistan. Suhu  di  sana  pada  ketika  itu  16  darjah  celcius, sangat sejuk!. Angin  dingin  itu  terasa  menggigit  kulit  pipiku. Angin  malam  di  Malaysia  berbeza  seperti  di  Islamabad. Kami  melakukan  pemeriksaan  passport  di  Airport  Islamabad. Suasana  di  airport  tersebut  agak  kalut  sedikit. Ini  kerana  terdapat  sejumlah  ramai  manusia  di  situ. Setelah  selesai  semuanya, kami  pun  bergerak  menaiki  pesawat  bersama  ahli  Jemaah  berbangsa  Pakistan. Kali ini, pesawat  yang  aku   naiki  agak  besar  sedikit  daripada  sebelumnya, 2 tingkat. Almaklumlah, nak menampung  Jemaah  Malaysia  dan  Pakistan  sekaligus. Pada  jam  11  malam, kami  terus  bergerak  ke  Jeddah.






14 Feb 2013 (Jeddah – Madinah Al-Munawwarah)
                Alhamdulillah, lebih  kurang  pada  jam  2  pagi (7 pagi waktu Malaysia) kami  selamat  tiba  di  King  Abdul  Aziz  International  Airport, Jeddah (KAAIA). Sesampainya  kami  di  sana, mutawif  kami  terus  membahagikan  kumpulan . Sejurus  itu, kami  terus  melakukan  pemeriksaan  passport  di  kaunter  yang  disediakan. Setelah  selesai  kesemuanya, kami  pun  berpusu-pusu  mengambil  bagasi  kami  dan  menaiki  bas  yang  sudah  sedia  ada  di  luar  airport. Suasana  di  airport  KAAIA  terlalu  sesak  dengan  sejumlah  ramai  orang. Pada  jam  4.30  pagi (9.30 pagi waktu Malaysia), bas  kami  terus  bergerak  menuju  ke  destinasi, iaitu  Madinah  Al-Munawwarah. Perjalanan  kami  ke  sana  memakan  masa  selama  lebih  kurang  6  jam. Sebelum  meneruskan  perjalanan, kami  singgah  sebentar  di  sebuah  kawasan  yang  terdapat  sebuah  masjid  bagi  menunaikan  solat  fardhu  Subuh  yang  mana  Subuh  di  sana  ialah  pada  jam  5.33  pagi. Nak  dikata  kawasan  itu  seperti  RnR , tidak  juga. Apa  yang  pasti, di  kawasan  itu  terdapat  kemudahan  yang  diperlukan  seperti  kedai  serbaneka, surau/masjid  dan  stesen  petrol. Apa  yang  mengkagumkan  aku, ialah  kawasan  tersebut  terletak  di  tengah2  kawasan  yang  lapang, berpasir  dan  berangin  kuat. Amat  nyaman! Setelah  setengah  jam  berlalu, kami  pun  meneruskan  perjalanan  ke  Madinah. Aku  hanya  sempat  membeli  sedikit  kudapan, iaitu  biskut  dan  2  botol  air  mineral. Pada  masa  yang  sama, aku  perasan  akan  ketidakselesaan  pada  opah  aku. Opah  aku  kurang  sihat  pada  ketika  itu. Aku   terasa  risau, namun  aku  berdoa  supaya  opah  aku  dapat  bertahan  sehingga  sampai nya  kami  di  madinah  nanti. Perjalanan  kami  ditemani  dengan  kawasan  yang  gersang  dan  kering-kontang. Hanya  bertemankan  bukit-bukau  yang  gondol  tanpa  sebarang  pokok  yang  tumbuh  subur. Namun, aku  tetap   mengkagumi  tempat  itu. Aku  terfikir  akan  perjuangan  Rasulullah  yang  berhijrah  dari  Mekah  ke  Madinah. Sudah  tentu  baginda  mengharungi  perjalanan  yang  lebih  panjang dan  juga  berpanasan  jika  mahu  dibandingan  dengan  perjalanan kami  ini. Tabahnya  baginda!.





 Akhirnya, pada  jam  12 tengahari (5 petang waktu Malaysia), kami  tiba  di  Bandar  Madinah  Al-Munawwarah. Bandar  yang  menjadi  medan  penghijrahan  baginda  Rasulullah  SAW  pada  ketika dulu. Menurut  mutawif  kami, Bandar  ini  yang  ketika  dulu  nama  asalnya, ialah  Yathrib. Akan  tetapi  baginda  tidak  begitu  menyukai  nama  tersebut, lalu  menukarkan nya  kepada  Madinah  Al-Munawwarah  yang  bermaksud  Bandar  yang  Bercahaya.  Usai  tiba  di  hotel  kami, iaitu  Suite  Hotel  maka  kami  pun  diberikan  kunci  bilik. Aku  ditempatkan  bersama  pakcik, isterinya, makcik  dan  juga  opah. Kami  berlima  di  dalam  1  bilik. Sungguh  meriah! Namun, aku  tidak  terus  naik  ke  bilik  kerana  aku  perlu  mengambil  makanan pada  opah  aku  terlebih  dahulu. Ini  kerana  penyakit  gastrik  yang  dihadapi  opah  aku  menyerang kembali. Alhamdulillah, setelah  menikmati  makanan  tengahari, opah  aku  sedikit  pulih. Setelah  bersiap-siap, kami  pun  terus  berjalan  kaki  menuju  ke  Masjid  Nabawi  yang  terletak  kira-kira  120 m  dari  hotel  kami. Masjid  Nabawi  atau  dikenali  sebagai  Masjid  Nabi  merupakan  masjid  kedua  paling  suci  selepas  Masjidil Haram  di  Mekah. Masjid  ini  asalnya  dibina  sendiri  oleh  baginda  Rasulullah  SAW, yang  mana  ianya  dibina  bersebelahan  dengan  rumah  baginda  diami  selepas  peristiwa  Hijrah  pada  tahun  622  Masihi. Pada  asalnya  masjid  ini  dibina  dengan  hanya  menggunakan  batu  lumpur, tiangnya  dengan  batang  tamar  dan  atapnya  hanya  dengan  pelepah  tamar. Namun  kini, selepas  kewafatan  baginda, Masjid  Nabawi  terus  diperbesarkan  mulai  pada  zaman  pemerintahan  Umar  RA. Masjid  indah  ini  bercirikan  10  buah  menara  masjid. Di dalam  masjid  ini  sungguh  indah  seni  binanya. Subhanallah!
Tong-tong  air  zamzam  juga  terdapat  banyak  di  dalam  masjid  ini. Ianya  memudahkan  para  Jemaah  masjid  bagi  menghilangkan  dahaga. Aku  sangat  merindui  tempat  ini. Bandar  Madinah  begitu  menenangkan  aku  walaupun  kelihatan  begitu  ramai  umat  manusia  di  sana. Berebut-rebutan  ke  Masjid  Nabawi. Kemeriahan  di  Madinah  ditambah  lagi  dengan  suasana nya  yang  begitu  hiruk-pikuk  dengan  gelagat  manusia  yang  pelbagai  dari  bermacam  Negara. Perniagaan  yang  terdapat  di  Madinah  sungguh  aktif. Harga nya  juga  murah  sekali. Kebanyakan  peniaganya  berasal  daripada  Sudan, Nigeria  dan  juga  Madinah  itu  sendiri. Penduduk  di  Madinah  lebih  bersopan-santun  dan  lembut  bicaranya   berbanding  penduduk  arab  di  Mekah. Namun, entah  mengapa  aku  tidak  begitu  ada  mood  mahu  berjalan  sakan. Kami  terus  menuju  ke  Masjid  Nabawi  bagi  menunggu  waktu  solat  asar   pada  jam 3.51 petang. Namun, ketika  itu  aku  pula  yang  merasa  tidak  selesa  dan  mahu  demam. Oh, janganlah! Detik  hati  aku. Tapi  apakan  daya, ALLAH SWT  betul-betul  menguji  diriku. Aku  ditimpa  demam. Aku  redha. Ianya  boleh  menjadi  kifarah  pada  diri  aku  sendiri, in sha  ALLAH. Pada  malamnya, aku  merasa  tidak  berdaya. Namun, aku  tetap  menggagahkan  diriku  bagi  mendatangi  masjid  untuk  menunaikan  solat  maghrib  dan  isya  pada  jam 6.17 petang dan  7.45 malam . Pada  malam  itu, usai  menikmati  makan  malam, opahku  mengajak  aku  berpergian  ke  Raudhah. Aku  hanya  menurut  walaupun  badanku  tidak begitu  stabil  sepenuhnya. Namun, terlalu  ramai  orang  pada  ketika  itu  untuk  memasuki  kawasan  Raudhah. Apa  yang  kami  mampu, ialah  solat  sunat  hanya  di  tepi  kawasan  Raudhah. Aku  mengatakan  pada  opah  aku  untuk  berhajat  ke  Raudhah  pada  hari  esok  atau  lusa. Ini  kerana  aku  sudah  merasa  tidak  larat  dan  mataku  merasa  kian  panas. Kami  terus  pulang  ke  hotel.



15 Feb 2013 (Bandar Madinah Al-Munawwarah)
Pada  hari  ini, aku  tidak  pergi  ke  Masjid  Nabawi  bagi  mengerjakan  solat  Subuh. Ini  kerana  badanku  panas, demam. Ianya  menjadi  suatu  kerugian  yang  paling  besar  bagiku. Namun, apakan  daya. Aku  redha. Selepas   menikmati  sarapan  dan  makan  ubat, aku  terus  gagahkan  diri  untuk  mengikuti  opahku  ke  Masjid  Nabawi. Opahku  merancang  untuk  memasuki  kawasan  Raudhah  pada  hari  itu.  Aku  berdoa  agar  aku  dibekalkan  kekuatan  pada  hari  itu. Rugi  rasanya  jika  aku  melepaskan  peluang  begitu  sahaja. Raudhah  dikenali  sebagai  taman  syurga. Nama  Raudhah  itu  diberikan  sendiri  oleh  baginda  Rasulullah  SAW. Ianya  terletak  di antara  mimbar  dan  juga  makam  Nabi.  Aku  sudah  seperti  ketidaksabaran  mahu  cepat  sampai  ke  Raudhah. Sesampainya  kami  di  Masjid  Nabawi, pengawal  wanita  yang  berada  di  situ  mengatakan  bahawa  Raudhah  hanya  akan  buka  pada  selepas  solat  Jumaat. Oh, mengapa  begitu? Aku  dan  opah  pun  terus  kuatkan  semangat  menunggu  di  masjid. Kami  beriktikaf  di  masjid  dan  terus  mengikuti  solat  Jumaat  di  Masjid  Nabawi. Inilah  pertama  kali  bagi  aku  mengerjakan  solat  Jumaat  di  Masjid  Nabawi. Khutbah  Jumaat  disampaikan   oleh  Syeikh  arab. Aku  berusaha  untuk  memahami  butir-butir  khutbah  yang  disampaikan  dalam  bahasa  arab  itu. Agak  sukar  bagi  aku  kerana  bicaranya  agak  laju. Apa  yang  mengkagumi  aku, ialah  nada  suara  imam  semasa  meberikan  khutbah  sangat  bersemangat. Nada  suaranya  tinggi  rendah  mengikut  kesesuaian  ayat. Tidak  seperti   khutbah  di  Malaysia  yang  mana  nada  hanya  mendatar  bagi  sesetengah  tempat. Namun, apa  yang  aku  dapat  simpulkan  daripada  pemahaman  opah  aku, ialah  mengenai  peperangan  saudara. Opah  aku  ialah  seorang  guru  bahasa  arab. Oleh  sebab  itu, opah  aku  lebih  pandai  bahasa  arabnya  daripada  aku. Setelah  itu, khutbah  tersebut  diakhiri  dengan  bacaan  doa  oleh  imam  tersebut.

Apa  yang  membuatkan  hatiku   tersentuh, ialah  apabila  imam  tersebut  menangis  ketika  membacakan  doa. Terasa  keinsafan  dalam  diriku  pabila  kedengaran  esak  tangis  imam  tersebut. Selepas  itu, kami  pun  bersolat  Jumaat. Uniknya  di  sini, setiap  kali  setelah  berakhirnya  solat  berjemaah, akan  selalu  diadakan  solat  jenazah. Dan  yang  paling  unik, tiada  doa  bersama  imam  selepas  solat  fardhu. Doa  hanya  akan  dilakukan  secara  masing-masing  punya  perihal. Unik  bukan? Usai  menunaikan  solat  Jumaat, pengawal  wanita  yang  bertugas  meminta  kami  Jemaah  Malaysia  bagi  berkumpul  di  suatu  tempat  sebelum  memasuki  Raudhah. Dan  selepas  itu, kami  menunggu  giliran  kami  bagi  memasuki  Raudhah. Ini  kerana  Jemaah  dari  Negara  lain, seperti  Turki, Pakistan, India, Mesir  sudah  pun  memasuki  kawasan  Raudhah. Sejurus  selepas  beberapa  minit, kami  dibenarkan  untuk  masuk. Sesungguhnya  kawasan  Raudhah  sungguh  sesak  dan  haru-biru  dengan  kehadiran  dan  asakan  daripada  jemaah-jemaah  negara  lain  yang  sungguh  kasar  perlakuan  mereka. Di  kawasan  Raudhah  ini, berlantaikan  dan  ditandai  dengan  karpet  hijau  dan  bukan  lagi  karpet  merah. Ini  memudahkan  bagi  para   Jemaah  untuk  mengetahui  dan  membezakan  kawasan  Raudhah. Walau bagaimanapun, aku  dan  opah  berpeluang  juga  untuk  memasuki  raudhah  dan  menunaikan  solat  sunat  di  dalamnya. Aku  hanya  mampu  berdoa  ketika  sujud. Ini  kerana  apabila  aku   menadah  tangan, aku  akan  dihalau. Yela, ramai  lagi  Jemaah  lain  mahu  bersolat, mana  boleh  doa  lama-lama. Oleh  sebab  itu, aku  mengambil  cara  untuk  berdoa  ketika  sujud  bagi  tiada  siapa  pun  yang  akan  menghalau  aku  keluar. Setelah  puas  berdoa, aku  dan  opah  pun  keluar. Alhamdulillah! Walaupun  bersesak, kami  berpeluang  memasuki  Raudhah.

16 Feb 2013 (Bandar Madinah Al-Munawwarah)
                Aku  bangun  seawal  jam  4 pagi (9 pagi waktu Malaysia). Aku  semakin  sihat, Alhamdulillah! Pagi  ini  aku  berpeluang menunaikan  solat  Subuh  di  masjid  Nabawi. Awal  pagi  di  madinah  sungguh  menenangkan, angin  sejuk  membuai  aku  ketika  dalam  perjalanan  menuju  ke  masjid. Apa  yang  menggembirakan  aku  pada  hari  ini, ialah  akan  diadakan  lawatan  di  sekitar  tempat-tempat  penting  di  Madinah  ini. Usai  bersarapan, kami  terus  menunggu  bas  yang  tiba  lebih  kurang  dalam  jam  7.30  pagi (12.30 tgahri waktu Malaysia) . Kami  bergerak  mengikut  kumpulan  yang  diberikan  pada  awal  ketibaan  kami  dulu. Destinasi  lawatan  pertama  kami, ialah  Masjid  Quba’. Masjid  ini  ialah  masjid  pertama  yang  dibina  sendiri  oleh  baginda  Rasulullah SAW  bersama-sama  Abu  Bakar  As-Siddiq  dan  juga  penduduk  Madinah  setelah  baginda  tiba  di  Madinah  Al-Munawwarah. Masjid  Quba’  dikira  sebagai  masjid  yang  tertua. Menurut  Mutawwif  kami, masjid  ini  dibina  atas  dasar  taqwa  yang   wujud  dalam  diri  umat  Islam  di  Madinah. Sesudah  sampai  di  sekitar  masjid  itu, kelihatan  begitu  banyak  bas  berada  di  luar  kawasan  masjid. Kami  diberi  masa  selama  30  minit  bagi  menziarahi  Masjid  Quba’. Kami  bersesak-sesak  bersama  Jemaah  lain  yang  ingin  memasuki  masjid  itu. Aku  tidak  faham  mengapa  harus  bersesakan  begini  sedangkan  terdapat  pintu  masuk  yang  lain. Aku  hanya  bersabar  menghadapi  kerenah  jemaah  negara  lain yang  pada  aku  mungkin  melampau. Alhamdulillah, aku  masih  berkesempatan  bagi  memasuki  masjid  ini. Aku  berpeluang  menunaikan  solat  sunat  di  dalam  masjid  itu. Ketika  dalam  perjalanan  pulang, aku  masih  menghadapi  kesesakan. Mereka  bertolak-tolakan. Aku   hampir  lemas  di  lautan  manusia  yang  saiz  badan  mereka  2  kali  ganda  lebih  besar  daripada  aku. Tolong! Akhirnya, aku  dapat   keluar. Malangnya, kasut  sebelahku  tertanggal  ketika  aku  berada  dalam  kesesakan  manusia  tadi. Ingat  mahu  mengambil  kasut  tersebut, tetapi  mustahil  sekali  kerana  ianya  sangat  berisiko. Andai  aku  cuba  mengambil  kasutku  itu, mungkin  aku  tiada  lagi  di  dunia  ini. Dipijak-pijak  oleh  manusia  yang  berhati  tidak  ambil  peduli. Aku  biarkan  sahaja  kasutku  itu. Aku  hanya  berjalan  menggunakan  sebelah  kiri  kasut  sahaja. Untung  aku  memakai  stoking  tebal, tidaklah  aku  merasa  panas  ketika  memijak-mijak  tanah.
 Usai, kami  bergerak  menuju  ke  destinasi  seterusnya, iaitu  Kebun  Kurma. Kebun  kurma  terletak  kira-kira  20  minit  dari  bandar  Madinah. Aku  teruja  ketika  mula-mula  sampai  di  sini. Mana  tidaknya, pelbagai  jenis  kurma  terjual  di  sini, seperti  Kurma  Ajwa, Mariami  dan  sebagainya. Namun, harga  kurma  di  sini  agak  mahal  jika  mahu  dibandingkan  dengan  di  pasar  kurma.  Selain  kurma,  kekacang  dan  juga  coklat  juga  dijual  di  sini. Aku  sebagai  penggemar  tegar  coklat  tidak  melepaskan  peluang  bagi  membeli pelbagai  jenis  coklat  di  sini. Rasa  coklat nya  juga  boleh  tahan  sedap. Setelah  20  minit  berlalu, kami  pun  dibawa  ke  Jabal  Uhud. Ianya  terletak  kira-kira  5 km  dari  sebelah  barat  laut  Madinah. Jabal  Uhud  ini  menjadi  saksi  bagi  sebuah  peperangan  yang  berlaku  ketika  di  zaman  Rasulullah  SAW, iaitu  perang  Uhud. Di  bawah  Jabal  Uhud  ini, terletak  sebuah  bukit  yang  dikenali  sebagai  bukit  Ar-Rumah  atau  yang  bererti  pemanah. Semasa  perang  Uhud, baginda  Rasulullah  SAW  pernah  menempatkan  50  orang  pemanah  yang  dipimpin  oleh  Abdullah bin Jubair al Anshir. Sesampainya  kami  di  sana, ketua  rombongan  kami  memperlihatkan  kepada  kami  akan  makam-makam  para  syuhada  ketika  peperangan  Uhud. Lantas, kami  membacakan  doa  yang  dipimpin  oleh  mutawwif  kami  sendiri. Setelah  diberikan  masa  selama  30  minit, maka  kami  pun  bergerak  menuju  ke  Masjid  Qiblatain. Ianya  merupakan  salah  satu  masjid  yang  terkenal  di  Madinah. Masjid  ini  bererti  2  kiblat. Pada  permulaan  Islam, mereka  melakukan  solat  dengan  menghadap  ke  arah  Baitul Maqdis/ Masjid Al-Aqsa  di  Jerusalem. Namun, selepas  16  bulan, ALLAH SWT  menurunkan  perintah  pada  Rasulullah  SAW  agar  menukarkan  kiblat  umat  Islam  ke  arah  Kaabah. Wahyu  itu  telah  disebut  di dalam  al-quran, surah  Al-Baqarah  ayat  144. Sayangnya, kami  tidak  berkesempatan  menunaikan  solat  sunat  di situ. Hanya  memandang  dari  arah  bas  sahaja. Ini  kerana  kami  kesuntukan  masa.
Sejurus  selepas  itu, kami  dibawa  ke  pasar  kurma  bagi  memberi  peluang  kepada  sesiapa  yang  mahu  membeli  kurma/tamar  di  situ. Harga  kurma  yang  dijual  di  situ  lebih  murah  berbanding  di  kebun  kurma  yang  kami  lawati  sebelumnya. Tepat  pada  jam  11.45 pagi (4.45 petang waktu Malaysia), kami  pun  beransur  pulang  ke  hotel. Sesudah  sampainya  kami  di  hotel, kami  terus  menikmati  makan  tengahari  dan  bersiap-siap  berpergian  ke  Masjid  Nabawi. Kami  tidak  sempat  mengerjakan  solat  zuhur  berjemaah  kerana  sudah  kelewatan  masa. Namun, kami  menunaikan  solat  di  bilik  hotel  sebelum  menuju  ke  masjid. Kali  ini, opah  aku  sekali  lagi  mengajak  aku   bagi  memasuki  raudhah. Aku  sungguh  teruja  dengan  semangat  opah  aku  itu. Aku  lekas  bersetuju. Ketika  menunggu  giliran  bagi  memasuki  kawasan  Raudhah, kami  sempat  berkenalan  dengan  pengawal  wanita  yang  menjaga  kami  pada  ketika  itu. Namanya Nora. Dia  sungguh  ramah  pada  kami. Mana  tidak nya, opah  aku  rancak  bersembang  dengannya  dalam  bahasa  arab. Gembira  sungguh  Nora  apabila  dia  melihat  opahku  bercakap  dalam  bahasanya, bahasa  arab. Aku  pun  tidak  melepaskan  peluang  bagi  mencuba  bercakap  dalam  bahasa  arab. Aku  cuba  praktis  ilmu  bahasa  arab  yang  aku  ada  pada  waktu  itu. Menurut  Nora, sekarang  dia  menuntut  dalam  sekolah  menegah  dan  tidak  lama  lagi  dia  bakal  memasuki  universiti  katanya. Banyak  lagi  perkara  yang  kami  bualkan. Namun, masa  tidak  terlalu  lapang. Setelah  seberapa  lama, akhirnya  kami  berjaya  memasuki  Raudhah  walaupun  terpaksa  bersesakan  dengan  Jemaah  lain. Setelah  selesai  memasuki  Raudhah, aku  melihat  suasana  masjid  dengan  sepuas-puas  hatiku. Ini  kerana  hari  ini  merupakan  hari  terakhir  bagi  kami  di  Madinah. Esok  kami  bakal  berpergian  ke  Mekah  bagi  menunaikan  Umrah. Aku  berharap  agar  ziarah  aku  di  bumi  madinah  Al-Munawwarah  bukanlah  ziarah  yang  terakhir  buat   kami. Aku  berdoa  agar  diberi  peluang  sekali  lagi  untuk  datang  ke  situ  semula  pada  masa  akan  datang, in sha  ALLAH..ameen!.






17 Feb 2013 (Madinah Al-Munawwarah – Mekah Al-Mukarramah)
                Pagi  ini  selepas  selesai  menunaikan  solat  Subuh  berjemaah  di  masjid, kami  terus  bersiap-siap mengemas  beg-beg  kami. Ini  kerana  pada  hari  ini  kami  akan  ke  Mekah  bagi  menunaikan  ibadah  Umrah  di  sana, in sha ALLAH. Sekitar  jam  11.20 pagi (4.20 petang waktu Malaysia) kami  selesai  mengemas  beg-beg  kami. Namun, kami  dikhabarkan  berita  sedih  pada  hari  ini, iaitu  salah  seorang  Jemaah  lelaki  yang  bersama  pakej  dengan  kami  telah  meninggal  dunia. Beliau  meninggalkan  isterinya  buat  selama-lamanya. Innalillahi wa innailaihi rajiuun! Dikatakan  puncanya  ialah  kerana  beliau  mengalami  demam  teruk  sebelum  ini. Ajal  telah  tiba. Beliau  disahkan  meninggal  oleh  ahli  biliknya  dan  mutawwif  kami  sendiri. Dan  kemudiannya, beliau  dimandikan  serta  disolatkan  oleh  para  Jemaah  pakej  kami  bersama-sama  mutawwif. Beliau  juga  akan  dikebumikan  di  tanah  perkuburan  di  sekitar  Bandar  Madinah. Aku, opah, serta  2  orang  makcik  aku  sempat  melawat  isteri  arwah  bagi  mengucapkan  takziah. Perasaan  kecewa  dah  sedih  yang  aku  dapat  lihat  pada  raut  wajah  yang  ditunjukkan  oleh  isteri  arwah. Kami  mendoakan  agar  arwah  suaminya  berada  di  kalangan  orang-orang  yang  soleh. Amen!. Opahku  terus-terusan  memberikan  kata-kata  semangat  buatnya. Usai  takziah, kami  pun  berjalan  kaki  menuju  ke  Masjid  Nabawi  bagi  mengerjakan  solat  Zuhur  berjemaah  yang  masuk  pada  jam  12.35 tengahari (5.35 waktu Malaysia). Kami  memenuhkan  masa  kami  sementara  masuknya  waktu  Zuhur  dengan  sebaik-baiknya. Kami  juga  melakukan  solat  qasar  asar  kerana  kami  akan  menghadapi  perjalanan  yang  agak  lama  ke  Mekah  pada  petang  ini.
Selesai  berjemaah, kami  pun  pulang  ke  hotel  dan  menikmati  makan  tengahari. Pada  jam  2  petang (7 petang waktu Malaysia), kami  pun  menaiki  bas  untuk  menuju  ke  tempat  miqat  kami, iaitu  di  Masjid  Bir  Ali. Ketika  ini, para  Jemaah  lelaki  sudah  bersiap  siaga  memakai  kain  ihram  serta  beridttiba’  dan  juga  memakai  kain  telekung  bagi  wanita. Ketika  bas  kami  meninggalkan  Bandar  Madinah, aku  tidak  dapat  menahan  rasa  sebakku. Aku  sungguh  sedih  mahu  meninggalkan  tempat  yang  indah  ini. Mana  tidaknya, lepas  ini  entah  bila  lagi  aku  dapat  menjejakkan  kaki  ke  sini. Mungkin  lagi  5  tahun, 10  tahun..bergantung  pada  rezeki  aku  dan  keluarga. Namun, apa  yang  aku  harapkan  ialah  kali  ini  bukan  kali  terakhir  buat  kami  sekeluarga  ke  tanah  suci. Bas  kami  terus  bergerak  ke  Masjid  Bir  Ali. Ianya  mengambil  masa  selama  lebih  kurang  15  minit  dari  Bandar  Madinah. Ia  merupakan  masjid  yang  terpenting  di  Madinah. Ini  kerana  masjid  Bir  Ali  merupakan  masjid  yang  menjadi  tempat  miqat  zamani  bagi  Jemaah  umrah  yang  datang  dari  Bandar  Madinah. Diriwayatkan  bahawa  masjid  ini  pernah  menjadi  tempat  persinggahan  bagi  Rasulullah  SAW  untuk  menunaikan  solat  sunat  dari  Madinah  sebelum  ke  Mekah. Masjid  Bir  Ali  juga  mempunyai  nama  yang  lain, iaitu  Masjid  Dzulhulaifah, Masjid  Syajarah  atau  Masjid  Mahram.
Namun, sayangnya  kami  tidak  berkesempatan  untuk  menziarahi  masjid  tersebut  dan  menunaikan  solat  sunat  kerana  terdapat  sejumlah  ramai  Jemaah  di  situ. Mutawif  kami  mencadangkan  supaya  kami  hanya  melewati  masjid  itu  dari  dalam  bas  serta   terus  berniat  umrah. Niat  umrah, ialah  “nawaitu  umrah wa ahramtu biha lillahi taala” ,maksudnya “sahaja aku berniat  umrah  serta  berihram  dengannya  kerana  ALLAH SWT”. Setelah  kami  berniat, maka  dengan  itu   kami  sudah  berada  dalam  ihram  dan  kami  perlu  untuk  menjaga  larangan-larangan  yang  ditetapkan  semasa  berihram. Jika  tidak, maka  kami  perlu  membayar  dam. Antara  larangan  yang  perlu  kami  patuhi, ialah  tidak  memakai  baju  berjahit  dan  menutup  kepala (bagi  lelaki), tidak  menutup  muka dan  memakai  sarung  tangan (bagi  wanita), tidak  memakai  wangi-wangian, mencabut  tumbuhan  di  tanah  haram, memburu  binatang  di  tanah  haram, menikah, menikahkan  orang  lain, dan  bersetubuh  antara  suami  isteri. Pantang-larang  ihram   bermula  seusai  kita  berniat  umrah  di  miqat, bukan  ketika  memakai  ihram. Setelah  kami  selesai  berniat, maka  kami  pun  bertalbiah  secara  beramai-ramai. Sambil  itu, kami  meneruskan  perjalanan  ke  kota  Mekah  Al-Mukarramah  yang  mengambil  masa  selama  lebih kurang  5  ke  6  jam  dari  Bandar  Madinah. Kami  menunaikan  solat  jama’  maghrib  dan  isya  di  kawasan  rehat  yang  lapang. Terdapat  di  situ  beberapa  kemudahan  seperti  surau, bilik  air, restoran  dan  kedai. Setelah  itu, kami  meneruskan  perjalanan  yang  tidak  berapa  lama  lagi. Akhirnya, Alhamdulillah  pada  jam  9  malam (2 pagi waktu Malaysia)  kami  selamat  tiba  di  kota  Mekah  Al-Mukarramah. Kota  yang  penuh  barakah  ini  begitu  sesak  dengan  sejumlah  manusia  yang  seakan-akan  berada  di  musim  haji. Sungguh  ramai!. Kami  selamat  tiba  di  hotel  kami, iaitu  Hotel  Yajid. Seperti  di  Madinah  dulu, aku  ditempatkan  bersama  pakcikku, isterinya, makcikku  dan  opah. Kami  tidak  terus  menunaikan  umrah  pada  malam  itu, malah  kami  mengemas  bilik  hotel  kami  terlebih  dahulu  dan  mengambil  sedikit  masa  untuk  melepaskan  lelah  setelah  beberapa  jam  manghadapi  perjalanan  dari Madinah.




18 Feb 2013 (Mekah Al-Mukarramah)
                Setelah  berehat  selama  6  jam, maka  pada  pukul  3  pagi (8 pagi waktu Malaysia), aku  bersama  opah  dan  makcik-makcikku  yang  lain  terus  bersiap  menuju  ke  Masjidil Haram  bagi  mengerjakan  perkara-perkara  Umrah, iaitu  tawaf, saie  dan  tahallul  di  sana. Ketika  dalam  perjalanan  ke  masjid, aku  merasa  sungguh berdebar  dan  ketidaksabaran  mahu  melihat  Kaabah. Masjidil  Haram  juga  kadangkala  disebut  sebagai  Masjid Al-Haram, yang  mana  ianya  dibina  mengelilingi  Kaabah  yang  menjadi  kiblat  bagi  umat  Islam  hingga  kini. Dikatakan  bahawa  Kaabah  terletaknya  betul-betul  di bawah  Arasy’ ALLAH SWT. Wallahualam. Angin  pagi  di  Mekah  sungguh  dingin  dan   mendamaikan, tidak  pasti  pula  aku  berapa  suhunya. Terdapat  ramai  orang  yang  sama  seperti  kami, iaitu  berjalan  menuju  ke  Masjidil Haram. Jarak  masjid  dari  hotel  kami, ialah  600 m. Agak  jauh, namun  kami  tetap  tabahkan  hati  untuk  berpergian  ke  sana. Waktu  itu, kebanyakan  kedai  tutup  kerana  terlalu  awal  pagi. Setelah  10  minit  berjalan, kami  tiba  di  pekarangan  Masjidil  Haram, berhadapan  dengan  menara  jam  yang  sungguh  megah. Aku  jadi  begitu  teruja  dan  terpana. Sungguh  indah  dan  menakjubkan  tempat  ini. Sejurus  itu, kami  pun  memasuki  Masjidil  Haram. Sudah  kelihatan  Kaabah  dari  pintu  masuk. Aku  tidak  dapat  menahan  rasa  sebak  di  hati. Aku  terus   menangis. Bukan  kerana  apa, tapi  aku  bersyukur  sangat  kerana  masih  diberi  peluang  untuk  mendatangi  Masjidil  Haram  ini. Dalam  keadaan  diriku  yang  lemah  dan  penuh  dengan  dosa, ALLAH SWT masih   memberikanku  peluang  dan  menerimaku  menjadi  tetamuNYA. Syukur Ya Rabb! Sangat2  bersyukur! Kami  meneruskan  langkah  kaki  menuju  ke  Kaabah  bagi  melakukan  tawaf  sebanyak  7  pusingan.
 Di  sekeliling  Kaabah  itu  terdapatnya Makam  Ibrahim. Ianya  bukanlah  sebuah  makam  perkuburan  Nabi  Ibrahim, tetapi  ianya  sebiji  batu  yang  diturunkan  sekali  bersama  dengan  Hajarul  Aswad. Ianya  dikatakan  sebagai  bekas  tapak  kaki  Nabi  Ibrahim. Nabi  Ibrahim  dikatakan  pernah  berdiri  di  atas  batu  tersebut  ketika  sedang  bersama  anaknya, Nabi Ismail  bagi  membina  Kaabah  suatu  waktu  dulu. Pada  waktu  sekarang, batu  itu  dipelihara  dan  diletakkan  di  dalam  sebuah  bekas  dan  ditutup  dengan  perak. Bekas kedua tapak kaki Nabi Ibrahim panjangnya 27 cm, lintangnya 14 cm dan dalamnya  10 cm masih nampak dan jelas dilihat. Selain  itu, terdapat   juga  Hijir  Ismail   yang  mana  merupakan pagar batu berlingkar 1.5 meter dan terletak berhampiran dengan Kaabah. Ianya  dibina  oleh  Nabi  Ibrahim  sewaktu  baginda  membangunkan  Kaabah. Hijir Ismail pada mulanya merupakan pagar batu yang sederhana sahaja. Kemudian Khalifah, Sultan dan Raja berkuasa memecahkan dan membangunkan semula pagar batu itu dengan batu marmar. Multazam  juga  merupakan  elemen  yang  penting  di  sekitar  Kaabah. Ia  adalah suatu ruang dengan keluasan sepanjang kira-kira 2 meter yang terletak di antara Hajar Aswad dan Pintu Kaabah. Perkataan Multazam bermakna," Melekat", sebab dipanggil demikian, kerana disinilah seseorang itu patut melekatkan dadanya semasa berdoa. Abu Daud meriwayatkan, bahawa Ibnu Abbas r.a. berkata:- Dia pernah berdiri tegak di Multazam dengan dada dan mukanya mengadap ke Kaabah. Tangannya dianjurkan ke atas kepala menekap ke Kaabah. Kemudian beliau berkata," Daku melihat Rasullullah s.a.w. melakukannya". Hajarul  Aswad  pula  mengikut  sejarahnya  diturunkan oleh Allah dari langit (syurga) ke atas Jabal Qubais. Ia merupakan sebiji permata putih, lebih putih dari salji, tetapi lama - kelamaan menjadi hitam sebab disentuh oleh orang - orang musyrik. Kalau tidak kerana sentuhan tersebut nescaya cahayanya menerangi antara timur dan barat. Ini diterangkan dari hadis Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam yang bermaksud: Dari Ibnu Abbas r.a. katanya, Rasulullah s.a.w bersabda :" Hajarul Aswad diturunkan dari syurga dan berwarna lebih putih dari susu. Dosa-dosa manusia (anak Adam ) menyebabkannya menjadi hitam " . Riwayat Ahmad dan Tirmizi. Hajarul Aswad  terletak  di sudut sebelah Tenggara Ka’bah, iaitu sudut dari mana Tawaf dimulai. Pancur  emas  juga  terdapat  di  Kaabah, iaitu  dalam  bahasa  arabnya  dipanggil  sebagai  Mizab. Ia  merupakan  lohong pemancur air yang terbuka yang terletak di bahagian atas bumbung Kaabah menghala ke Hijir Ismail. Pancur  emas  merupakan salah satu binaan dari "Binaan-Binaan Kaabah Yang Penuh Kemuliaan"  dan  juga  telah dibina dengan menggunakan logam Emas tulen. Selain kegunaan Mizab sebagai aliran air untuk membuang takungan air yang terletak di atas bumbung Kaabah tatkala musim hujan, Mizab juga diriwayatkan merupakan salah satu dari tempat-tempat mustajab  doa oleh Allah SWT di Makkah. Subhanallah! Menariknya  Kaabah! Aku  sungguh  teruja.
Kami  memulai  tawaf  dengan  niat  dan  di  bahagian  rukun  Yamani  yang  terletak  di  Multazam. Kami  tidak  melakukan  tawaf  Qudum  kerana  ianya  hanya  dilakukan  pada Jemaah  yang  menunaikan  haji  sahaja. Sejarah  tawaf  ini  dikatakan  apabila  para malaikat telah menyesali atas ketelanjuran mereka seolah-olah tidak bersetuju Nabi Adam a.s dijadikan khalifah di muka bumi, lalu mereka telah menebus dosa mereka (melakukan kaffarah) dengan tawaf mengelilingi Arasy. Oleh kerana Arasy itu tersangat luas maka Allah swt pun mencipta suatu binaan lain yang lebih kecil  dan sesuai untuk para Malaikat melakukan tawaf dinamakan Baitul Ma’mur.  Kedudukan Baitul Ma’mur itu dikatakan betul-betul di bawah Arasy. Manakala para malaikat yang bertugas di bumi, Allah telah menyuruh mereka agar membina suatu binaan yang fungsinya menyamai fungsi Baitul Ma’mur di langit, iaitu sebagai tempat tawaf bagi diri mereka di bumi. Itulah Baitullah atau Kaabah yang terletak di tengah-tengah Masjidil Haram di Makkah. Ia dikatakan selari dengan kedudukan Arasy di langit. Subhanallah, menakjubkan! Keadaan  ketika  itu   agak  kurang  ramai  orang  berbanding  di  siang  hari. Ianya  agak  memudahkan  kami  melakukan  tawaf  pada  ketika  itu, Alhamdulillah! Tawaf  kami  mengambil  masa  selama  30  minit. Usai  selesai  melakukan  tawaf, kami  memilih  tempat  bagi  mengerjakan  solat  sunat  tawaf. Peristiwa  yang  terjadi  pada  aku  ketika  mahu  melakukan  solat  sunat  tawaf  adalah  sangat  menyedihkan  diriku. Ketika  aku  sedang  solat  sunat  tawaf, seorang  pengawal  lelaki  yang  menjaga  di  situ  menghalau  kami  dan  menolak  aku  daripada  melakukan  solat  sunat  di  situ. Pengawal  tersebut  bukan  sahaja  menolakku, malah  dia  menendang  beg  sandangku  yang  aku  letakkan  di  hadapanku. Rasa  tersentap  jantungku  dengan  perbuatan  kasar  dia. Ianya  betul-betul  membuatkan  aku  menahan  sabar. Perlu  ke  dia  berperlakuan  begitu  sekali? Tak  boleh  ke  dia  menghalau  dengan  cara  yang  baik? Oh, sudahlah! Depan  Kaabah  pun  mahu  buat  dosa, getusku. Aku  terus  menukar  tempat  ke  tempat  yang  lain  bagi  menunaikan  solat  sunat. Aku  betul-betul  sedih  dan  kecewa. Aku  redha. Sejurus  itu, kami  terus  menunaikan  solat  Subuh  berjemaah  kerana  azan  sudah  berkumandang. Ketika  itu  sudah  ramai  manusia  memenuhi  ruang. Kerana  tiada  pilihan, maka  kami  bersolat  di  tangga.
Usai  solat, kami  pun  meneruskan  perkara  umrah  kami  yang  seterusnya, iaitu  saie. Kami  memulakan  dengan  niat  serta  memulai  saie  di  safa  ke  marwah  sebanyak  7  kali. Terdapat  di  jalan  tengahnya  khusus  bagi  mereka  yang  menaiki  kerusi  roda. Sejarah  saie  dikatakan  apabila  pada  sewaktu  dulu  ketika  Siti  Hajar  dan  Ismail  ditinggalkan  oleh  nabi  Ibrahim   di  kawasan  yang  begitu  lapang  dan  gersang  tanpa  ditumbuhi  tumbuh-tumbuhan. Pabila  bekalan  air  mereka  sudah  kehabisan  dan  Ismail  sudah  merengek  kehausan. Atas  sebab  itu, Siti  Hajar  berusaha  bagi  mencari  bekalan  air  buat  Ismail. Dikatakan  bahawa  Siti  Hajar  menaiki  anak  bukit  Safa  dan  berulang  alik  ke  Marwah  bagi  mencari  air. Namun, tidak  menjumpai  sumber  air. Siti  Hajar  pulang  dengan  perasaan  yang  kecewa. Namun, apabila  pulangnya  dia  pada  Ismail. Kaki  Ismail  yang  pada  ketika  itu   masih  bayi telah  menghentak  tanah  dan  maka  keluarkan  mata  air  daripada  hentakan  tersebut. Siti  Hajar  merasa  gembira  dan  memberi  Ismail  minum  air  daripada  sumber  tersebut. Maka, mata  air  itu  dikenali  sebagai  air  zamzam  yang  tidak  kering  hingga  kini. Kisah  pengorbanan  seorang  ibu  terhadap  anaknya  betul-betul  menyentuh  hatiku. Melakukan  saie  tidak  mempunyai  wudhu  pun  tidak  mengapa. Tidak  seperti  ketika  tawaf  yang  memerlukan  kita  untuk  bersuci  daripada  najis  dan  perlu  untuk  berwudhu. Saie  kami  mengambil  masa  selama  30  minit  juga. Usai  saie, maka  kami  pun  berdoa  dan  terus  melakukan  tahallul. Tahallul  ialah keluar dari ihram dengan bercukur atau bergunting setelah tiba masanya. Tahallul ialah diperbolehkan atau dibebaskannya seseorang itu dari larangan atau pantangan ihram. Pembebasan tersebut ditandai dengan tahallul iaitu dengan mencukur atau memotong rambut sedikit sekurang-kurangnya 3 helai rambut. Tahallul  merupakan  rukun  umrah  yang  ke 4. Bagi  lelaki, lebih  afdhal  membotakkan  kepalanya. Manakala, bagi  wanita  pula  lebih  afdhal  menggunting  beberapa  helai  dari  rambutnya  sahaja. Alhamdulillah, akhirnya  kami  berjaya  menamatkan  ibadah  umrah  kami  seawal  jam  8 pagi (1 petang  waktu Malaysia). Sejurus  itu, kami  pun  terus  pulang  ke  hotel  dan  melakukan  acara  bebas  di  sebelah  petang  dan  malam.




bukit Marwah

19 Feb 2013 (Mekah Al-Mukarramah)
                Alhamdulillah, hari ini aku masih diberi  nafas  untuk  meneruskan  perjuangan  ibadah  di  bumi  barakah  ini. Seperti  biasa, aku  bangun  seawal  4  pagi  dan  bersiap-siap  untuk  ke  Masjidil  Haram  bagi  mengerjakan  solat  Subuh  berjemaah. Aku  berpergian  bersama  opahku, manakala  pakcikku  serta  2  orang  makcikku  sudah  mendahului  kami. Perjalanan  kami   ke  Masjidil  Haram  sepanjang  600 m  tidak  terasa  kepenatan  kerana  pelbagai  ragam  manusia  dapatku  lihat  sepanjang  di   jalanan. Ketika  waktu  sebegini, terdapat  sebegitu  ramai  pengemis  yang  berkulit  hitam  yang  aku  anggarkan  mereka  mungkin  berasal  dari  Sudan  ataupun  Nigeria. Kebanyakan  mereka  terdiri  daripada  kanak-kanak  yang  berumur  sekitar  8-12 tahun,mungkin. Apa  yang  aku  lihat, kebanyakan  daripada  mereka  kudung  di  tangan  dan  juga  sebelah  kaki. Dikatakan  bahawa  mereka  ini  memang  sengaja  dipotong  tangan  dan  sebelah  kaki  mereka  oleh  pihak  yang  berkenaan  supaya  mereka  dapat  mengemis  dan  meminta  simpati  daripada  orang  ramai. Sungguh kejam! Yang  lebih  kasihan, ada  sesetengah  para  ibu  yang  mengemis  di  jalanan  sambil  mengendong  bayi  kecil  mereka. Angin  dingin  pagi  yang  menusuk  tulang  sum  sum  seawal  pagi  ini  membuatkanku  berfikir  tentang  nasib  dan  kesihatan  bayi  tersebut. Andai  mereka-mereka  ini  kenampakan  polis  pengawal  yang  lalu-lalang  di  sekitar  kawasan  mereka, mereka  akan  terus   lari  bertempiaran. Ini  kerana  mereka  merasa  takut  jika  ditangkap  oleh  pihak  polis. Aku  sangat  bersimpati  dengan  nasib  mereka, tapi  mereka  juga  harus  mengubah  cara  hidup  mereka. Syariat  Islam  itu  sendiri  tidak  menggalakkan  umatnya  untuk  mengemis  tanpa  berusaha  apa-apa. Tangan  di  atas  lebih  baik  daripada  tangan  di  bawah. Aku  hanya  mampu  berdoa  supaya  mereka  mendapat  hidayah  bagi  menghentikan  aktiviti  seperti  itu  dan  berusaha  untuk  mencapai  kejayaan  dengan  cara  yang  lebih  baik. Sedar  tidak  sedar, aku  telah  pun  sampai  di  pekarangan  Masjidil  Haram  melalui  pintu  King  Abdul  Aziz.

Usai  solat  berjemaah, aku  pulang  ke  hotel  dan  menikmati  sarapan  pagi  seperti  biasa. Alhamdulillah, makanan  di  sini  sungguh sedap  seperti  berada  di  Malaysia. Secara  tiba-tiba, aku  teringatkan  masakan  ibuku  di  tanah  air. Rindu ummi!. Aku  mendoakan  yang  terbaik  buat  ibu  dan  bapaku  di  Malaysia. Diharapkan  mereka  sihat-sihat  belaka..ameen! Pada  jam  7.30  pagi, aku  serta  ahli  keluargaku  yang  lain  menaiki  sebuah  coaster  bersama  ahli  Jemaah  lain  ke  Masjid  Tana’im. Walaubagaimanapun, kami  perlu  untuk  membayar 15 riyal  untuk  seorang. Ini  kerana  jarak  dari  Al-Haram  ke  Masjid  Tana’im  sekitar  6 km. Tujuan  kami  ke  sana  ialah  mahu  melakukan  niat  ibadah  umrah. Masjid  Tana’im  merupakan  miqat  zamani  bagi  Jemaah  yang  datang  dari  tanah  al-Haram  Mekah. Sesampainya  di  sana, kami  tidak  pula  turun  ke  masjid  itu. Semata-mata  untuk  berniat  umrah  sahaja. Dan  kemudiannya, kami  terus  dihantar  di  tepi  Masjidil  Haram. Kami  terus  memasuki  masjid  bagi  melakukan  ibadah-ibadah  umrah, iaitu  tawaf, saie  dan  bertahallul. Dalam  anggaran  jam  11  pagi, aku  selesai  melakukan  ibadah  umrah, Alhamdulillah ya Rabb! Engkau  permudahkan  segala  urusan  kami. Walau  begitu  ramai  umat  manusia  yang  melakukan  ibadah  umrah, namun  aku  dapat  merasakan  kesenangan  dalam  melakukan  Ibadan  umrah  tersebut  walau  di  dalam  kesesakan  umat  manusia. Sesudah  itu, kami  pulang  ke  hotel  dan  pada  petang  itu  merupakan  acara  bebas  buat  kami.

20 Feb 2013 (Mekah Al-Mukarramah)
                Hari  ini  merupakan  hari  yang  agak  menyedihkan  aku. Punyai  2  asbab  mengapa  aku  mengatakan  sedemikian. Ini  kerana  hari  ini  opahku  telah  ditimpa  demam. Agak  panas  juga  badan  opahku. Rasa  kasihan  terus   menyelinap  dalam  diriku  ini. Aku  tidak  ke  masjid  pada  pagi  ini. Aku  harus  menjaga  opahku. Aku  takkan  biarkan  opahku  keseorangan  di  hotel. Walau  aku  merasa  sangat  sedih  kerana  tidak  dapat  berjemaah  di  masjid, namun  aku  yakin  bahawa  kebajikanku  terhadap  opahku  juga  merupakan  suatu  ibadah. Aku yakin! Usai  solat  subuh  di  bilik  hotel, aku  terus  turun  ke  dewan  makan  untuk  mengambil  makanan  bagi  pihak  opahku. Sesudah  memberi  opahku  makan  pagi  dan  menyuapkan  ubat, aku  biarkan  opahku  tidur  secukupnya. Aku  sungguh  mengkagumi  opahku  sedalam-dalam  hatiku. Di  saat  umurnya  yang  hampir  mencecah  74  tahun, semangatnya  untuk  datang  ke  tanah  suci  ini  sungguh  besar. Keyakinannya  terhadap  DIA  sungguh  hebat  dan  sesungguh-sungguhnya. Aku  sungguh  dan  teramat  bersyukur  memiliki  opah  seperti   beliau. Alhamdulillah Ya ALLAH! Engkau  panjangkanlah  umur  opah  kesayanganku  ini…rahmatilah   hidupnya. Tanpa  beliau, aku  tidak  akan  berpeluang  untuk  sampai  ke  tanah  suci  ini  yang  mana  tambangku  ditanggung  sepenuhnya  oleh  beliau. Mana  tidaknya  apabila  aku  sedari  kecil  sudah  dibela  sepenuhnya  oleh  opahku. Kasih-sayang  opahku  tidak  terhingga  terhadapku  sehinggakan  kemana-mana  sahaja  opahku  pergi, sudah  semestinya  wajib  akan   mengajak  aku  bagi  turut  serta. Kedatanganku  bersama  opah  ke  tanah  suci  ini  juga  supaya  aku  dapat  menjaga  opahku  sepanjang  berada  di  sini  dan  opahku  mengharap  agar  aku  dapat  manjadi  insan  yang  lebih  baik  akan  hadirnya  aku  ke  sini. In sha  ALLAH,aku  mendambakan  untuk  menjadi  seorang  hamba  ALLAH SWT   yang  patuh  akan  perintahnya. Hidup  dan  matiku  hanya  untuk  DIA. Aku  cuba  berusaha  bagi  menjadi  insan  yang  lebih  baik  daripada  sebelumnya. Aku  akui, aku  bukan  seorang  wanita  yang  muslimah. Aku  terlalu  banyak  cacat  celanya. Aku  tersedar. Terlalu  jauh  lamunanku. Lantas, aku  membuka  tv  yang  diperlahankan  nada  bunyinya. Siaran  langsung  daripada  Masjidil  Haram  sungguh  menusuk  kalbuku. Kelihatan  begitu  ramai  umat  manusia  sedang  bertawaf  di  Baitullah. Sungguh mengkagumkan!. Suasana  di  Masjidil  Haram  yang  tidak  pernah  putus  dengan  kehadiran  umat  manusia  yang  hadir  dari  segenap  pelusuk  dunia. Perbezaan  warna  kulit  tidak  menghalang  mereka  bagi  terus  melakukan  ibadah  hanya  kepadaNYA, ALLAH SWT  yang  maha  esa. Aku  berdoa  agar  opahku  diberi  kesihatan  dan  berpeluang  untuk  ke  masjid  lagi,amen! Antara  sedar  dan  tidak  sedar, waktu  zuhur  telah  pun  masuk. Aku  pun  terus  menunaikan  solat  bersendirian  di  bilik  hotel  dan  sejurus  itu  mengambil  makanan  untuk  opahku. Keadaan  ini  berterusan  sehinggalah  pada  malam  hari nya.


21 Feb 2013  (Mekah Al-Mukarramah)
                Alhamdulillah ya Rabb! Segala puji  bagiMU Ya ALLAH SWT  kerana  telah   memberi  kesembuhan  pada  opahku  yang  disayangi. Akhirnya, harapanku  untuk  bersolat  kembali  di  Masjidil  Haram  telah  termakbul. Syukran ya Rabb! Seawal  jam  4  pagi, aku  dan  opah  berjalan  kaki  ke  Masjidil Haram. Merasa  ketenangan  pada  awal  pagi  ini. Hatiku  berbunga  riang!. Mana  tidaknya, pada  hari  ini  kami  akan  mengadakan  ziarah  ke  tempat-tempat  menarik  dan  bersejarah  di  bumi  Barakah  ini. Usai  solat  berjemaah  subuh  di  masjid, aku  terus  menelefon  ibu  kesayanganku  di  bumi  Malaysia. Hari  ini  merupakan  hari  ulang tahun  kelahiran  ibuku  yang  ke  51  tahun. Aku  mahu  mengucapkan  selamat  ulangtahun  buat  ibu ku  tersayang  dunia  dan  akhiratku. Setelah  beberapa  minit  menunggu, akhirnya  panggilanku  disambut  oleh  ibuku. Aku  merasa  sungguh  tenang  pabila  dapat  mendengar  suara  ibuku  yang  sungguh  dirindui  sedalam-dalam  hatiku. Terus  aku  bertanyakan  khabarnya  dan  mengucapkan  selamat  hari  ulangtahun  buat  ibuku. Ucapan  khas  dari  Bumi  Mekah Al-Mukarramah,hehe. Kami  bersembang-sembang  seketika. Bertukar  cerita  dalam  masa  yang  singkat. Ini  kerana  caj  panggilan  dari  Arab  Saudi  ke  Malaysia  agak  mahal.
Pada  jam  7.30  pagi, aku  serta  ahli  Jemaah  lain  pun  menaiki  bas  bagi  melakukan  ziarah  di  sekitar  kota  suci  ini. Di  awal  perjalanan  kami  diiringi  dahulu  dengan  bacaan  doa  dan  selawat  ke  atas  nabi. Destinasi  pertama  kami, ialah  Jabal Nur. Di  atas  bukit  ini  terletaknya  Gua  Hira’  yang  mana  terjadinya  penurunan  wahyu  pertama  buat  banginda  Rasulullah  SAW  melalui  malaikat  Jibril. Masa  diambil  untuk  sampai  ke  sini  dari  Mekah, ialah  selama  15  minit  sahaja. Namun, sayangnya  kami  tidak  pula  turun di  sini. Kami  hanya  melihat  Jabal  Nur  dari  atas  bas  sahaja. Seterusnya, kami  bergerak  menuju  ke  destinasi  seterusnya, iaitu  Jabal  Rahmah. Jabal  Rahmah  bererti  bukit  yang  dipenuhi  rahmat. Diceritakan  bahawa  di  sinilah  tempat  pertemuan  Nabi  Adam  dan  Hawa  setelah  100  tahun  diturunkan  dari  langit  ke  bumi. Menurut  mutawif  kami  lagi, dikatakan  bahawa  Nabi  Adam  dan  hawa  telah  terpisah  sejurus  diturunkan  ke  bumi. Nabi  Adam  diletakkan  di  Sri  Lanka, manakala  Hawa  di  Palestin. Mereka  terus  memendam  rasa  rindu  antara  satu  sama  lain. Walaubagaimanapun, setelah  ALLAH SWT  menerima  taubat  baginda  nabi  Adam, maka  ALLAH SWT pertemukan  Nabi  Adam  dengan  isterinya, Hawa  kembali  di  Jabal  Rahmah. Subhanallah,sungguh  mengkagumkan  kisah  Adam  dan  Hawa  ini!. Ianya  dapat  membuat  aku  lebih  berwaspada  dengan  hasutan  syaitan  yang  boleh  menarik  kita  menjadi  lalai  kepada  suruhan  ALLAH SWT. Hanya  kerana  hasutan  iblis  laknatullah  terhadap  Nabi  Adam  dan  Hawa, maka  ALLAH SWT  telah  menghukum  mereka  dengan  mengeluarkan  mereka  dari  syurga  dan  menurunkan  mereka  ke  bumi. Usai  tibanya  kami  di  Jabal  Rahmah, aku,2  orang  makcikku  telah  sama-sama  berdoa  yang  mana  doanya  dibacakan  oleh  opahku. Doa  buat  sahabat-sahabat,ahli  keluarga,kenalan dan  guru/pensyarah  tidak  dilupakan. Setelah  itu, aku  terus  menghayati  suasana  persekitaran  Jabal  Rahmah. Kelihatan  begitu  ramai  orang  yang  menaiki  Jabal  Rahmah. Namun, dikatakan  bahawa  iktikaf  Rasulullah SAW  hanya  di  pinggir  bukit  sahaja, bukannya  di  atas  bukit. Tapi, alangkah  bagusnya  jika  aku  dapat  naik  ke  puncak  Jabal  Rahmah  ini. Sayangnya, niatku  itu  dihalang  oleh  opahku  kerana  khuatir  dengan  keselamatan  aku  di  sana  nanti. Aku  akur.
Selepas  30  minit  berada  di  Jabal  rahmah, maka  kami  pun  bergerak  ke  destinasi  seterusnya. Kami  dibawa  ke  tempat-tempat  manasikh  haji, iaitu  Padang  Arafah, Mina  dan  Muzdalifah. Sedikit  sebanyak  aku  dapat  terangkan  tentang  manasikh  haji  seperti  mana  yang  diceritakan  oleh  mutawif  kami  mengenainya. Pada  tanggal  9 Zulhijjah, usai  terbitnya  fajar  maka   para  Jemaah  haji  akan  berpergian  ke  padang  Arafah  bagi  berwukuf  di  sana. Sebelum  itu, para  Jemaah  haji  perlu  mandi  sunat  ihram  serta  memakai  pakaian  ihram. Tidak  lupa  juga  perlu  untuk  berniat  ihram  dan  talbiah  sebnyak  yang  mungkin. Semua  itu  perlu  dilakukan  pada  hari  Tarwiyah, iaitu  pada  tanggal  8  Zulhijjah. Apabila  tibanya  di  Padang  Arafah, maka  ahli  Jemaah  Haji  perlu  untuk  solat  secara  jama’ taqdim  dan  qasar  fardhu  zuhur  dan  asar. Selain  itu, perlu  untuk  memperbanyakkan  zikir, membaca  al-quran  dan  memperbanyakkan  doa  di  sana. Para  Jemaah  Haji  akan  tinggal  di  padang  Arafah  sehingga  terbenam  matahari  pada  tanggal  9 Zulhijjah. Kali  ini, Jemaah  Haji  perlu  untuk  mabit  di  Muzdalifah  selama  separuh  malam, iaitu  pada  malam  9 Zulhijjah  sehingga  subuh  10 Zulhijjah. Di  sana  para  Jemaah  Haji  disarankan  supaya  memperbanyakkan  berzikir  serta  berdoa. Di  Muzdalifah  juga  para  Jemaah  Haji  digalakkan  untuk  mengumpul  batu-batu  bagi  ibadah  melontar  di  Mina  nanti. Pada 10 Zulhijjah, usai  Subuh  maka  para  Jemaah  Haji  akan  bergerak  ke  Mina  bagi  menetap  di  sana  selama  3  hari  berturut-turut. Di  Mina, para  Jemaah  Haji  akan  melakukan  ibadah  melontar  di  Jumrah  Aqabah, Jumrah Wusta  dan  Jumrah  Ula  sebnyak  7  kali  lontaran  sambil  disertai  dengan  takbir. Usai  melontar, maka  para  Jemaah  Haji  akan  bertahallul. Maka, sesudah  itu  terjadilah  Tahallul  awal. Dengan  itu  para  Jemaah  Haji  bebas  daripada  larangan-larangan  semasa  ihram, kecuali  melakukan  hubungan  suami  isteri. Maka, usai  menetap  di  Mina  selama  3  hari  berturut-turut  di  sana, pulanglah  Jemaah  Haji  ke  Mekah. Mereka  perlu  untuk  melakukan  tawaf  ifadah (tawaf Haji)  dan  bersaie  serta  tahallul. Maka, dengan  melakukan  ketiga-tiga  perkara  itu, terjadilah  Tahallul  thani. Dengan  itu, para  Jemaah  haji  sudah  bebas  daripada  kesemua  larangan-larangan  semasa  berihram. Sungguh  panjang  lebar  mutawif  kami  menerangakan  perihal  manasikh  Haji  pada  kami.



Aku  berdoa  dan  berharap  agar  diberikan  peluang  bagi  melakukan  ibadah  Haji  pada  masa  akan  datang, in sha ALLAH. Kami  hanya  melalui  ketiga-tiga  kawasan  manasikh  Haji  tersebut  dari  atas  bas  sahaja. Di  Mina, terdapat  begitu  banyak  khemah-khemah  berwarna  putih  bagi  para  Jemaah  Haji   untuk  mereka  menginap  ketika  tibanya  musim  haji. Sungguh cantik  suasana  di  Mina. Sesudah  berakhirnya  kami  menziarahi  tempat  manasikh  Haji, maka  kami  terus  bergerak  ke  Masjid  Ja’ranah. Masjid  ini  terletak  di  luar  tanah  Haram. Ianya  menjadi  tumpuan  para  Jemaah  bagi  bermiqat  di  Masjid  Ja’ranah  ini. Sesampainya  di sini, maka  aku  dan  opah  pun  turun  untuk  menyinggahi  ke  dalam  masjid  ini. Kami  ingin  melakukan  solat  sunat  ihram  2  rakaat. Begitu  ramai  para  Jemaah  lain  singgah  bermiqat  umrah  di  sini. Sangat  sesak! Lebih  kurang  pada  jam  12 tengahari, maka  kami  pun  bergerak  pulang  ke  hotel. Selepas  menunaikan  solat  zuhur  dan  menikmati  hidangan  tengahari, maka  bergerak lah  aku  dan  opah  ke  Masjidil Haram  bagi  melakukan  ibadah  Umrah  di  sana. Ketika  dalam  perjalanan, kelihatan  begitu  banyak  burung-burung  merpati  berkeliaran  di  jalanan. Merpati2  tersebut  sedang  menghadapi  bijirin  yang  ditabur  oleh  insan-insan  yang  melalui  jalan  tersebut. Ketika  melalui  jalan  itu, kesemua  burung  merpati   itu  berterbangan  di  atas  kami. Terasa  angin  hasil    hayunan  kepak  burung-burung  merpati  itu. Subhanallah,sungguh comel  merpati-merpati  ini!. 
Dikatakan  bahawa  burung  merpati  pernah  menyelamatkan  baginda  Rasulullah SAW  bersama  sahabat  baginda, abu  Bakar  as-Siddiq  ketika  baginda  berhijrah  dari  Mekah  ke  Madinah  kerana  diburu  oleh  kaum  kafir  Quraisy. Diceritakan  usai  Rasulullah  memasuki  Gua  Tsur, maka  sepasang  burung  merpati  membuat  sarang  di  hadapan  pintu  gua  tersebut  serta  dibantu  oleh  seekor  labah-labah  yang  membuat  sarang  di  pintu  gua tsur  tersebut. Mengikut  akal  logik  manusia, kelihatan  gua  tersebut  seperti  sudah  lama  tidak  didatangi  manusia. Subahanallah! Sungguh  merasa   takjub  dengan  kisah  itu. Sesungguhnya  ALLAH SWT Maha  Pengasih  lagi  Maha  Penyayang. Selepas  beberapa  minit  perjalanan, maka  tibalah  kami  di  Masjidil  Haram. Sejurus  itu, kami  terus  melakukan  ibadah  umrah, iaitu  tawaf, saie  dan  tahallul. Alhamdulillah, kami  dapat  melaksanakan  ibadah  umrah  dengan  jayanya  tanpa  sebarang  kesukaran.




22 Feb 2013 (Mekah Al-Mukarramah)
Hari  ini  hari  Jumaat. Seperti  biasa,aku  bangun  pada  jam  3  pagi  dan  terus  bersiap-siap  ke  Masjidil Haram.  Usai  melakukan  solat  subuh  berjemaah, maka  aku  dan  opah  pulang  ke  hotel  untuk  bersarapan  serta   berehat  sebentar. Pada  jam  11 pagi, kami  pun  bergerak  ke  Masjidil  Haram. Kami  merancang  untuk  melakukan  solat  Jumaat  pada  hari  ini. Sesungguhnya  ini  ialah  kali  pertama  buat  aku  bagi  menunaikan  solat  Jumaat  di  Masjidil  Haram. Rasa  teruja  menyelinap  dalam  diriku. Kadangkala  kelihatan  budak-budak/bayi  kecil  yang  dipakaikan  ihram  oleh  ibu  bapanya  ke  hulu  ke  hilir  di  dalam  masjid. Comel!. Pelbagai  ragam  dapatku  lihat  sepanjang  berada  di  dalam  Masjidil Haram.  Masa  kami  sebelum  tibanya  waktu  solat  Jumaat  telah  dipenuhi  dengan  sebaiknya  di  masjid. Tepat  pada  jam  12.35  tengahari, maka  berkumandang  azan  menandakan  telah  masuknya  waktu  solat  zuhur.  Setelah  itu, kedengaran  pula  azan  bagi  menandakan  masuknya  waktu  solat  Jumaat. Kami  dihidangkan  dengan  bacaan  khutbah  oleh  khatib  di  Masjidil  Haram. Sekali  lagi  aku  cuba  untuk  memahami  tentang  apa  yang  diperkatakan  oleh  khatib  tersebut. Agak  sukar  buatku  kerana  aku  kurang  pandai  dalam  bahasa  arab. Sayangnya,aku  tidak  dapat  memahami  dengan  sebaiknya. Sayang  sejuta  kali  sayang!. Aku  merasa  kerugian  dalam  diriku. Aku  berazam  untuk  mendalami  ilmu  bahasa  arab  supaya  ianya  dapat  memudahkan  aku  untuk  memahami  butir  bicara  dalam  bahasa  arab  andai  aku  diberi  peluang  berada  di  sini  lagi, in sha ALLAH. Setelah  itu, khatib  tersebut  mengetuai  bacaan  doa  usai  berkhutbah. Seterusnya, kami  pun  menunaikan  solat  Jumaat  berjemaah.

23 Feb 2013 (Mekah Al-Mukarramah)
                Seawal   jam  5  pagi, aku  dan  opah  selamat  tiba  di  Masjidil Haram. Hari  ini  aku  dan  opah  berperancangan  untuk  melakukan  tawaf  sunat  usai  solat  Subuh  berjemaah  nanti. Alhamdulillah, setelah  kami  selesai  menunaikan  solat  berjemaah, maka  kami  pun  bergerak  terus  menuju  ke  Kaabah. ALLAH SWT  telah  memudahkan  urusan  tawaf  kami  pada  hari  ini. Terima  kasih, ya ALLAH!. Setelah  tiba  di  Multazam, maka  kami  pun  mulai   niat  tawaf. Seterusnya  kami  terus  melakukan  tawaf  sebanyak  7  kali. Apa  yang  aku  perasan, selepas  pada  waktu  Subuh, tidak  begitu  ramai  yang  melakukan  tawaf  berbanding  pada  siang  hari. Ini  mungkin  kerana  mereka  sudah  pun  bertawaf  pada  waktu  sebelum  Subuh  atau  mahu  melakukannya  pada  siang  hari. Usai  bertawaf, maka  kami  pun  mencari  tempat  bagi  melakukan  solat  sunat  tawaf  sebanyak  2  rakaat. Sesungguhnya  aku  betul-betul  dapat  merasakan  ketenangan  yang  begitu  Sakinah  sepanjang  berada  di  tanah  suci  ini. Ketika  berada  betul-betul  di  hadapan  Kaabah, aku  memohon  ampun  kepadaNYA  akan  dosa-dosa  yang  aku  sering  lakukan  sama  ada  aku  sedari  ataupun  tidak. Tidak  lupa  juga  untuk  aku  menyampaikan  doa-doa  hajat  yang  dikirimkan  oleh  sahabat-sahabatku. Seringkali  aku  terasa  begitu   kerdil  dan  malu  pabila  berada  di  hadapan  Kaabah. Aku  menyedari  akan  dosa-dosa  yang  begitu  banyak  yang  telah  aku  lakukan. Aku  terasa  begitu  malu  sekali,sungguh!. Aku  malu  dengan  ALLAH SWT. Masakan  tidak, dengan  dosa  aku  yang  menggunung, akan  tetapi  DIA  masih  menerima  aku  menjadi  tetamunya di  Baitullah  ini. Subhanallah!. Ampunkanlah  dosa-dosa  kami Ya Rabb. Engkau  pimpinlah  kami  di  jalanMU yang  benar. Janganlah  Engkau  biarkan   kami  lalai  daripada  suruhanMU  ya ALLAH. Engkau  masukkanlah  kami  bersama  orang-orang  yang  bertaqwa  kepadaMU ya ALLAH. Ameen.

24 Feb 2013 (Mekah Al-Mukarramah - Mekah Al-Aziziah)
                Alhamdulillah, hari  ini  aku  dan  opah  masih  diberi  kesempatan  bagi  melakukan  tawaf  sunat   usai  solat  Subuh  berjemaah. Namun, pada  pagi  ini  aku  bersama  ahli  keluargaku  yang  lain  akan  menziarahi  saudara  kami  yang  menetap  di  tanah  suci  ini. Aku  sendiri  tidak  ketahuan  tentang  aku  punyai  saudara  yang  tinggal  di  kota Mekah  ini. Alangkah  beruntungnya  saudaraku  itu!. Aku  mendapat  tahu  bahawa  saudaraku  itu  baru  sahaja  menghadapi  pembedahan  buah  pinggang  di  hospital  Al-Aziziah. Pada  jam  10  pagi, kami  menunggu  suami  saudaraku  itu  menjemput  kami  di  hotel. Namun, pada  jam  11  pagi  barulah  suaminya  sampai. Sesudah  itu, kami  terus  bergerak  menuju  ke  rumah  saudara  kami  di  Mekah  Al-Aziziah. Perjalanan  kami  dari  hotel  menuju  ke  rumahnya  tidak  begitu  jauh, lebih  kurang  mengambil  masa  dalam  30  minit  sahaja. Suami  saudaraku  itu  sememangnya  berbangsa  melayu, namun  disebabkan  terlalu  lama  menetap  di  Mekah  ini  sedari  bayi  lagi. Maka,dengan  persekitaran  beliau  yang  seringkali  dikelilingi  oleh  orang  berbangsa  Indonesia, oleh  sebab  itu  maka  tidak  hairanlah  pabila  percakapan  dia  mempunyai  slang  indon. Kami  rancak  berbual  dan  berkenalan  dengan  beliau, tapi  aku  lupa  pula  akan  namanya. Tanpa  disedari, akhirnya  kami  pun  selamat  tiba  di  hadapan  rumahnya. Sejujurnya, pada  mulanya  aku  tidak  tahu  itu  adalah  kawasan  rumahnya. Ini  kerana  kawasan  perumahan  di  Mekah  tidak  seperti  di  Malaysia. Bentuk  rumah-rumah  mereka  seperti  kotak  dan  tidak  berbumbung. Luaran  kelihatan  seperti  rumah  lama  kerana  tidak  bercat  serta  nampak  kusam. Namun, sesaat  aku  menjejakkan  kami  memasuki  rumah  saudaraku  itu, aku  menjadi  teruja!. Reka  bentuk  di  dalam  rumahnya  kelihatan  seperti  rumah  banglo. Sangat  cantik  dan  mewah!. Aku  terpegun!. Aku  terasa  seperti  berada  di  dalam  sebuah  rumah  banglo  yang  mewah. Rumah  itu  sebesar  2  tingkat  setengah. Setelah  itu, kami  pun  bersalam-salaman  dengan  saudaraku  itu. Menurut  opahku, saudaraku  itu  merupakan  saudara  jauh, iaitu  adik-beradik  tiri  dengan  ibuku. Jika  mahu  menghuraikan  tentang  salasilah  keluargaku, seharian  pun  belum  tentu  habis  aku  berceloteh. Terlalu  panjang  dan  besar  salasilah  keluarga  kami. Dia  masih   terlantar  di  atas  katil. Dikatakan  anak  sulungnya  yang  mendermakan  sebelah  buah  pinggang  kepadanya. Sementara  itu, aku  sempat  berkenalan  dengan  anak  perempuannya  yang  ketiga, aku  panggil  kak Abir. Kak  Abir  sudah  pun  berkahwin  dan  mempunyai  seorang  anak  lelaki, namanya  Osama.
Kami  pun  terus  berbual-bual  dan  bertanya  khabar sambil  dihidangkan  manisan  serta  coklat  kurma  dan  juga  jus  buah. Aku lah  manusia  paling  teruja  pabila  diberi  kesempatan  dan  peluang  merasai  manisan  yang  sememangnya  dibawakan  khas  dari  tanah  suci  ini  sendiri. Sungguh  lazat!. Aku  berkali-kali  merasai  manisan  tersebut  yang   mana  ianya  merupakan  kacang  pistachio  yang  ditumbuk  serta  dibungkus  oleh  seakan-akan  kulit  popia. Indahnya  sebuah  silaturrahim!. Pabila  di  tanah  suci  ini  kami  masih  diberi  peluang  mengenali  saudara  kami  yang  agak  jauh  dari  Malaysia. Kami  dapat  mengeratkan  sebuah  lagi  silaturrahim  yang  mungkin  selama  ini  kami  terlepas  pandang. Terima  kasih  Ya  ALLAH  kerana  menemukan  kami  semula. Pada  waktu  tengaharinya  usai  solat  zuhur, kami  dihidangkan  dengan  nasi  arab  mandy  berlaukkan  ayam  panggang  serta  disertai  sekali  dengan  sambal  dan  sedikit  sayur-sayuran. Sungguh  meriah!. Aku  terasa  bagai  berada  pada  hari  raya. Kami rancak  berbual  sambil  menikmati  makan  tengahari. Kami  terus-terusan  berada  di  situ  sehinggalah  selepas  waktu  maghrib. Kami  dihantar  pulang  oleh  suami  saudaraku  itu  ke  hotel  kami. Kalau  mengikut  aturcara, pada  malam  ini  selepas  isya’  kami  akan  mengadakan  majlis  tahlil  serta  bacaan  Yassin  bersama  dengan  ahli  Jemaah  lain. Kami  juga  dihidangkan  dengan  nasi  arab  kambing  mandy  sekali  lagi  sebagai  makan  malam  kami  pada  hari  ini. Kali  ini  aku  sudah  menyerah  kalah  dan  rasa  tidak  mampu  untuk  menelan  nasi  kambing  itu, lagipun  aku  kurang  menggemari  lauk  kambing. Pakcik  aku  sudah  beberapa  kali  menjamah  nasi  arab  pada  hari  ini. Sungguh  dahsyat!. Alhamdulillah, kami  dilimpahi  dengan  begitu  banyak  rezeki  pada  hari  ini.



25 feb 2013 (Mekah Al-Mukarramah – Hudaibiyah)
                Pada  hari  ini  aku  dan  para  Jemaah  umrah  yang  lain  akan  mengadakan  lawatan  ke  ladang  unta  dan  masjid  Hudaibiyah. Kami  bergerak  ke  destinasi  pada  jam  7.30  pagi. Perjalanan  kami  untuk  ke  ladang  unta  di  Hudaibiyah  mengambil  masa  hampir  45  minit. Akibat  merasa  terlalu  mengantuk  pada  hari  ini, aku  hanya  tidur  sepanjang  perjalanan. Sesedarnya  aku  daripada  tidurku, kelihatan  sebuah  kawasan  lapang  yang  berpasir  serta  bukit-bukau  yang  seperti  padang  jarak  padang  tekukur. Dalam  keadaanku  yang  mamai, aku  tertanya-tanya  di  manakah  aku  berada  sekarang. Rupa-rupanya  kami  telah  pun  sampai  di  ladang  unta. Ladang  ini  terletak  di  kawasan  lapang  bersebelahan  dengan  jalanraya. Suasana  yang  panas  dan  kering  menyebabkan  aku  menjadi  kagum  dengan  pengembala  unta-unta  di  sini. Mereka  sudah  biasa  dengan  suasana  seperti  ini  sehinggakan  tidak  kisah  jika  mereka  terpaksa  berpanas  di   kawasan  ladang  unta  yang  tiada  berbumbung  ini. Di  sini  terdapat  beberapa  ekor  unta  yang  agak  banyak  juga, juga  terdapat  unta  yang  masih  kecil . Aku  tidak  melepaskan  peluang  untuk  mengambil  gambar  unta  di  sini, tetapi  aku  tidak  berani  untuk  mengusap  unta-unta  di  sini. Aku  agak  penakut  sedikit,hehe. Pengembala  unta  di  sini  akan  terus  memerah  susu  unta  untuk  dijual  pada  kami. Sayangnya, aku  tidak  meminum  susu  unta. Harga  susu  unta  di  sini, ialah  5 riyal. Menurut  mutawif  kami, air  kencing  unta  boleh  dibuat  ubat  bagi  penyakit  yang  kronik  seperti  busung. Begitu  hebatnya  unta  sehinggakan  air  kencingnya  juga  boleh  dijadikan  ubat. Setelah  puas  menziarahi  dan  bertanyakan  khabar  unta-unta  di  sini, maka  kami  pun  bergerak  ke  masjid  Hudaibiyah.
Masjid ini terletak kira-kira 26km dari kota Mekah dan bersempadan dengan tanah haram. Ia juga merupakan salah satu di antara lokasi miqat yang sering dikunjungi oleh jemaah haji dan umrah. Masih  ingat  lagi  tentang  perjanjian  Hudaibiyah? Dikatakan  bahawa  pada suatu hari baginda telah bermimpi pergi ke Masjidil Haram bersama para sahabat dengan aman dan tanpa gangguan daripada kaum Quraisy. Melalui mimpi tersebut turunnya wahyu Allah SWT dalam ayat 27, surah Al-Fath. Baginda pun mengarahkan kaum Muhajirin dan Ansar supaya bersiap-sedia ke Mekah. Tujuan mereka bukanlah untuk berperang tapi untuk menunaikan umrah. Disebabkan itu mereka pergi tanpa membawa sebarang kelengkapan perang kecuali untuk mempertahankan diri dari serangan perompak. Sewaktu menghampiri kawasan bernama Hudaibiyah rombongan baginda telah dihalang dan Uthman Bin Affan telah dihantar sebagai wakil untuk menerangkan tujuan kedatangan mereka ke situ. Semasa menunggu kepulangan Uthman mereka mendapat khabar angin beliau telah dibunuh dan berita tersebut telah menimbulkan kemarahan para sahabat dan kaum muslimin yang lain. Akhirnya satu "Ba'iah Al-Ridhwan" iaitu perjanjian taat setia oleh para sahabat kepada Rasulullah SAW telah dilakukan di bawah sepohon pokok di tepi sebuah telaga. Untuk makluman semua, nama Hudaibiyah sebenarnya berasal dari nama seorang lelaki yang telah menggali telaga di tempat tersebut. Daerah itu kemudian diberikan kepadanya serta dinamakan "Hudaibiyah" (termasuklah telaga tersebut). Berdekatan telaga itu terdapat sepohon pokok yang cukup rendang yang bernama pokok Hadba’. Perisitwa Bai'ah Al-Ridhwan ini telah dicatat di dalam surah Al-Fath yang bermaksud "Kemenangan" (Al-Fath)  pada  ayat  10  dan  ayat  18. Bai'ah tersebut telah sampai ke pengetahuan orang Quraisy dan mereka berasa gentar lalu memulangkan semula Saidina Uthman. Mereka telah menghantar wakil iaitu Suhail Bin Amru untuk berunding dengan Rasulullah SAW. Memandangkan syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak Quraisy berat sebelah maka Saidina Umar Al-Khattab telah mempertikaikannya. Tapi oleh kerana baginda terlebih dahulu melihat kebaikannya melalui wahyu yang diturunkan dalam mimpi, maka perundingan tersebut telah dipersetujui. Antara perkara yang telah dipersetujui dalam Perjanjian Hudaibiyah adalah  gencatan senjata selama 10 tahun, Kabilah Arab boleh memilih untuk memihak sama ada orang Islam Madinah atau orang Quraisy Mekah, Orang Madinah yang pergi ke Mekah tanpa kebenaran penjaganya tidak perlu dipulangkan, tapi bagi orang Mekah yang pergi ke Madinah tanpa kebenaran penjaganya perlu dipulangkan semula  dan  Umat Islam hanya boleh mengerjakan umrah pada tahun berikutnya. Walau bagaimanapun, perdamaian yang dipersetujui di antara kedua-dua pihak ini bertahan selama 2 tahun sahaja. Orang Quraisy sengaja melanggar isi perjanjian yang pertama dan memberi sokongan kepada Bani Bakar yang berperang dengan Bani Khuza'ah. Mengikut syarat Perjanjian Hudaibiyah gencatan senjata harus dikekalkan selama 10 tahun tetapi orang Quraisy telah mencabulinya. Nabi Muhammad SAW telah bertindak tegas dalam menangani hal tersebut dan menghantar pasukan tentera Islam ke Mekah. Walaupun perjanjian ini banyak menguntungkan kaum Quraisy tapi dalam tempoh jangka panjang ia juga menguntungkan orang Islam. Ini boleh dilihat apabila umat Islam bebas memasuki kota Mekah tanpa sebarang sekatan dan boleh melakukan umrah pada bila-bila masa. Selain itu dakwah Islam dapat berkembang ke seluruh pelusuk tanah Arab tanpa sebarang halangan. Ini dapat disaksikan dengan pengislaman tokoh panglima Quraisy yang berpengaruh seperti Khalid bin Al-Walid, Amru bin Al-As dan Uthman bin Talhah. Bahkan melalui larangan gencatan senjata selama 10 tahun tersebut baginda dapat berdakwah sehingga kepada pembesar Rom, Raja Habsyah, Raja Mesir dan Raja Parsi. Itu  adalah  serba  sedikit  tentang  apa  yang  diberitahu  oleh  mutawif  kami  semasa  berada  di  Hudaibiyah.

 Pada  jam  11.30  pagi, kami  pun  bergerak  pulang  ke  hotel. Pada  Zuhur  ini, opahku  telah  mengatakan  padaku  bahawa  opahku  tidak  larat  untuk  ke  masjid  pada  hari  itu. Oleh  demikian, maka  kami  pun  menunaikan  solat  Zuhur  berjemaah  di  surau  yang  terletaknya  berhadapan  di  hotel  kami  sahaja. Boleh  tahan  ramai  juga  orang  di  surau  tersebut. Apa  yang  aku  dapat  katakan, penduduk  di  Mekah  ini  tidak  akan  melepaskan  peluang  untuk  solat  berjemaah  walau  di  mana  sahaja  mereka  berada. Ia  cukup  membuatkan  aku  kagum  dengan  mereka. Yang  paling  bagus  sekali, ialah  mereka  akan  terus   menghentikan  perniagaan  mereka  dan  terus  bergerak  menuju  ke  masjid  usai  kedengaran  azan  solat  fardhu  mahupun  solat  jumaat. Memang  terbaik!. Disiplin  mereka  terhadap  solat  fardhu  5  waktu  sehari  itu  sangat  membuatkanku  merasa  malu  jika  mahu  dibandingkan  dengan  aku. Subhanallah!. Pada  jam  5  petang  ini, aku  serta  para  Jemaah  lain  perlu  menghadiri  taklimat  untuk  pulang  ke  tanah  air  pada  esok  hari  nya. Hati  aku  berubah  sedih.



26 Feb 2013 (Mekah Al-Mukarramah – Jeddah)
                Awal  pagi  ini, aku  merasa  tidak  begitu  seronok. Aku  sedih. Aku  tidak  bersedia  untuk  meninggalkan  bumi  Mekah  ini. Aku  terasa  waktu  bergerak  terlalu  cepat. Aku  tidak  puas  berada  di  sini. Aku  tidak  mahu  balik  ke  Malaysia. Serius!. Andai  aku  masih  budak  berumur  5  tahun, pasti  aku  akan  merengek-rengek  terhadap  opah  aku. Atas  sebab  apa? Sebab  aku  tak  nak  pulang  ke  Malaysia. Aku  mahu  tinggal  di  Mekah  ini  lagi. Aku  mahu  tambah  bilangan  hari  berada  di  sini  atau aku  mengambil  keputusan  untuk  tinggal  di  sini  buat  selama-lamanya. Akan  tetapi, bila  difikirkan  kembali  banyak  tanggungjawabku  di  bumi  Malaysia  menunggu kehadiran  aku. Atas  faktor  itu, aku  terpaksa  tabahkan  hati  untuk  menerima  hakikat  bahawasanya  aku  akan  meninggalkan  bumi  Mekah  pada  hari  ini  juga. Pada  jam  4  pagi, aku  berjalan  kaki  menuju  ke  Masjidil Haram  bersama-sama  opahku  serta  2  orang  makcikku, sementara  pakcikku  sudah  pun  pergi  dahulu  ke  masjid. Hari  ini  kami  akan  melakukan  tawaf   wida’  usai  solat  Subuh  berjemaah. Alhamdulillah, sekali  lagi  ALLAH SWT  memudahkan  kami  bagi  melakukan  tawaf. Setelah  itu, kami  pun  terus  menunaikan  solat  sunat  tawaf  berhadapan  dengan  pancur  emas. Aku  tidak  melepaskan  peluang  untuk  berdoa  sepuas-puasnya . Usai  solat  sunat, aku  mengambil  masa  untuk  melihat  serta  merenung  Kaabah  yang  begitu  indah  sepuas-puasnya. Aku  merenung  sekeliling  Masjidil Haram. Pasti  aku  akan   merindui  sangat-sangat  akan  tempat  yang  suci  lagi  indah  ini. Aku  berharap  agar  DIA  akan  memberikanku  peluang  sekali  lagi  bagi  mendatangi  al-haramain  ini. Aku  berkira-kira  dalam  masa  lebih  kurang  5  tahun  akan  datang, aku  mahu  ke  sini  lagi. Mungkin  ketika  itu, aku  akan  pergi  bersama  suamiku, in sha  ALLAH. Kita  hanya  merancang, DIA  yang  menentukan. Setelah  puas  melihat  Kaabah, maka  aku  dan  opah  pun  mulai  bergerak  pulang  ke  hotel. Langkah  kakiku  menjadi  berat. Andai  aku  boleh  gam  kakiku  di  situ, akan  aku  lakukan. Aku  mahu  setia  berada  di  Masjidil Haram  ini, namun  apakan  daya. Sebelum  kami  melalui  pintu  masuk  kami, pintu  King  Abdul  Aziz, aku  sempat  menoleh  sekali  lagi  pada  Kaabah  sebelum  aku  berpergian  meninggalkan  Kaabah. Sejurus  itu, aku  tidak  lagi  dapat  menahan  air  mataku  daripada  bercucuran  jatuh  ke   pipi. Opahku  bertanya, ‘kenapa  along?’. Aku  tidak  menjawab, hanya  mampu  menggeleng-gelengkan  kepala. Tangisanku  seperti  budak  kecil, teresak-esak. Aku  begitu  sedih. Entah  bila  lagi  aku  akan  datang  ke  sini . Aku  meneruskan  perjalanan  pulang  ke   hotel. Aku  merasakan  bahawa  opahku  perasan  akan  keadaan  diriku. Seraya  opahku  berkata,” Siapa  yang  tidak  sedih  untuk  tinggalkan  bumi  barakah  ini. Embah  sendiri  pun  sedih. Tapi  kita  kena  ingat, kita  ada  masih  tanggungjawab  di  bumi  kita, Malaysia. Along  kena  tabahkan  hati. Embah  percaya  along  boleh  ke  sini  lagi. Along  kena  kumpul  duit . Along  masih  muda  lagi. Bila-bila  masa  along  dapat  datang  ke  sini  andai  dipanjangkan  umur, in sha ALLAH”. Aku  hanya  anggukkan  kepala  sahaja. Berpisah  dengan  Kaabah  sangat  menyedihkan  aku. Aku  tabahkan  hati. Go  strong  Afaf!. Setibanya  kami  di  hotel, kami  terus  bersarapan  dan  mengemas  beg.
Pada  jam  11  pagi, kami  pun  menaiki  bas  untuk  ke  Jeddah. Kami  sempat  menyinggah  ke  Masjid  terapung  Ar-Rahmah  yang  terletak  di  Jeddah. Masa  yang  diambil  selama  1  jam  sahaja. Sesampainya  kami  di  sana, kami  menikmati  makan  tengahari  dan  kemudiannya  kami  terus  menunaikan  solat  jama’  taqdim  zuhur  dan  asar. Suasana  di  masjid  tersebut  sangat  nyaman. Mana  tidaknya, masjid  tersebut  terletaknya  di  atas  laut  merah. Ingat  lagi  tentang  kisah  laut   merah  dan  nabi  Musa? Di  sinilah  nabi  musa  membelah  laut  merah  bagi  menyelamatkan  dirinya  yang  diburu  oleh  Firaun  serta  pengikutnya. Laut Merah adalah sebuah teluk di Lautan Hindi , di antara benua Afrika dan Asia. Ia hampir bercantum di Teluk Aden dengan Bab el Mandeb. Di utara ialah Semenanjung Sinai, Teluk Aqaba, Terusan Suez. Laut Merah bertemu dengan Mesir, Sudan dan Eritrea di sebelah barat, manakala di sebelah timurnya ialah Arab Saudi dan Yaman. Laut Merah dikategori sebagai Global 200 wilayah ekonomi. Sungguh  nyaman  dan  damai  dapat  menghirup  udara  di  sini  walau  cuaca  sedang  panas  pada  ketika  ini. Pada  jam  2, kami  pun  bergerak  ke  airport  KAAIA. Ketika  ini  hatiku  sudah  merasa  sayu  untuk  meninggalkan  tempat  indah  ini. Sekali-kali  tidak  akan  aku  lupakan  pengalaman  yang  sungguh  manis  ini. Setelah  45  minit  perjalanan, maka  kami  pun  tiba  di  KAAIA. Kami  check  in  bagasi  terlebih  dahulu. Kemudiannya, kami  menunggu  di  airport  tersebut  sehinggalah  tiba  masa  penerbangan  kami  nanti. Dianggarkan  pada  jam  9  malam  ini, kami  akan  menghadapi  penerbangan  dengan  menaiki  Pakistan  Airlines, pesawat  yang  sama  ketika  kami  datang  ke  sini  pada  awal  dahulu. Namun, usai  kami  melakukan  solat  jama’  taqdim  maghrib  dan   isya, kami  dikhabarkan  bahawa  tiket  kami  pada  malam  itu  ditunda  pada  keesokan  harinya. Aku tidak  tahu  bagaimana  mahu  menggambarkan  perasaan  aku  ketika   itu. Ada  gembira, ada  sedih. Gembira  kerana  aku   masih  berpeluang  berada  di  tanah  suci  lagi. Sedih  kerana  aku  sudah  mulai  merindui  ibu  bapaku  di  rumah. Akhirnya, kami  pun  dibawa  ke  hotel Al-Badr  yang  mana  ianya  terletak  di  Bandar  Jeddah. Kami  menginap  di  hotel  tersebut  hanya  semalaman  sahaja. Namun, aku  tetap  bersyukur  kerana  masih  diberi  kesempatan  untuk  meluangkan  masa  di  Jeddah  walaupun  hanya  semalaman. Aku  hanya  tersenyum.

27 Feb 2013 (Jeddah – Lahore)
                Seawal  jam  8  pagi  usai  kami  bersarapan  di  hotel, maka  kami  pun  menaiki  bas  menuju  ke  King  Abdul  Aziz  International  Airport (KAAIA), Jeddah. Ia  mengambil  masa  selama  1  jam  untuk  ke  sana  dari  hotel  kami. Sesampainya  kami  di  airport, maka  kami  pun  menunggu  untuk  check  in. Kira-kira  dalam  30  minit  selepas  itu, maka  kami  pun  dipanggil  untuk  check  in. Kami  melakukan  pemeriksaan  scanning  beg  seperti  yang  dilakukan  ketika  mula-mula  mahu  berangkat  ke  sini. Kami  juga  melakukan  pemeriksaan  badan  supaya  bebas  daripada  membawa  sebarang  barang-barang  merbahaya  seperti  senjata  or  yang  seangkatan  dengannya. Sepatutnya  tiket  penerbangan  kami  ialah  pada  jam  11  pagi. Namun, pesawat  kami  masih  tidak  bersiap  dan  punyai  masalah  teknikal. Maka, mahu  atau  tidak  mahu  kami  terpaksa  menunggu  di  balai  perlepasan  hamper  selama  4  jam  30  minit. Sungguh  lama!. Pada  jam  12.45  tengahari, kami  pun  menunaikan  solat  jama’  taqdim  zuhur  dan  asar  sebelum  memulakan  perjalanan  musafir  kami  yang  jauh  destinasinya. Akhirnya, pada  jam  2  petang, kami  pun  menaiki  sebuah  coaster  bagi  memudahkan  kami  menaiki  pesawat  yang  sudah  sedia  menunggu  ketibaan  kami. Pesawat  yang  aku  naiki  berkongsi  dengan  para  Jemaah  dari  Pakistan. Setelah  selesai  kesemua  urusan  penerbangan, maka  pada  jam  3.30  petang  kami  pun  berlepas  ke  Lahore. Di  Lahore  itu  ialah  tempat  transit  kami  bagi  menukarkan  pesawat  lain  untuk  penerbangan  ke  Malaysia. Perjalanan  kami  ke  Lahore  mengambil  masa  selama  7 jam  lamanya. Kami  selamat  tiba  di  airport  di  Lahore  pada  jam  10  malam. Setelah  itu, kami  pun  diberikan  tiket  untuk  penerbangan  pulang  ke  Malaysia. Apa  yang  aku  lihat  tentang  airport  Lahore, ialah  agak  mewah  dan  canggih  seperti  di  KLIA  berbanding  dengan  airport  di  Islamabad. Kami  masih  menaiki  pesawat  yang  sama, iaitu  pesawat  Pakistan International Airlines (PIA). Perjalanan  yang  terlalu  lama  ini  menyebabkan  kami  mengalamai  keletihan  yang  melampau. Aku  merasa  kasihan  dengan  para  Jemaah  yang  sudah  lanjut  usianya. Mereka  sudah  tentu  keletihan  amat  sangat, sedangkan  aku  sendiri  pun  sudah  bosan  dan  penat  berada  di  dalam  pesawat  agak   lama. Akibat  keletihan, kami  ketiduran  di  dalam  pesawat. Pesawat  kami  terus  menerobos  awan  bagi  menuju  ke  destinasi  yang  sepatutnya.

28 Feb 2013 (KLIA)
                Alhamdulillah, akhirnya  pada  jam  8.30  pagi (waktu Malaysia), kami  pun  selamat  tiba  di  Kuala  Lumpur  International  Airport (KLIA). Aku  merasa  sungguh  bersyukur  kerana  masih  diberi  nafas  dan  peluang  sekali  lagi  bagi  melihat  dan  menjejakkan  kaki  di  tanah  air  sendiri. Thanks Ya ALLAH SWT!. Aku  merasa  tidak  sabar  untuk  turun  dari  pesawat  untuk  berjumpa  dengan  ayahku. Ini  kerana  kami  akan  dijemput  oleh  ayahku, manakala  ibuku  punyai  urusan  dan  tidak  dapat  untuk  menjemput  kami. Setelah  kami  turun  dari  pesawat, kami  menaiki  aerotrain  untuk  ke  bangunan  utama  KLIA. Sejurus  sampai, kami  melakukan  pemeriksaan  passport  dan  mengambil  bagasi-bagasi  kami  di  ruang  yang  disediakan. Setelah  selesai  kesemuanya, maka  aku  dan  opah  bersalam-salaman  dan  bermaaf-maafan  dengan  ahli  keluarga  kami, iaitu  pakcik-pakcikku, makcik-makcikku  serta  ahli  Jemaah  yang  turut  serta  bersama  kami  sepanjang  berada  di  tanah  suci. Usai  itu, kami  pun  terus  bergerak  ke  balai  menunggu. Kelihatan  ayahku  melambai-lambaikan  tangan  pada  kami. Aku  terus  berlari-lari  anak  dan  bersalaman  dengan  ayahku. Rindu  tidak  terkata!. Pada  jam  11 pagi, kami  pun   bergerak  pulang  ke  rumahku  di  Ipoh, Perak. Yeah, itulah  pengalaman  aku  sepanjang  berada  di  tanah  suci, tempat  yang  penuh  barakah. Mustahil  untuk  aku  melupakan  pengalaman  indah  ini  buat  selama-lamanya. Akanku  lakarkan  pengalaman  ini  di  dalam  sebuah  travelog  agar  dapatku  jadikan  ianya  sebuah  kenangan  indah  selamanya. Semoga  aku  diberi  peluang  untuk  melakukan  ibadah  Haji  pula  selepas  ini. SESUNGGUHNYA  AKU  BENAR-BENAR  AMAT  MERINDUI  KEINDAHAN  RAUDHAH  SERTA  KETENANGAN  DI  BAITULLAH. (^_^)